Pada 23 April 2000 lebih kurang jam 1950H, seramai 23 orang (12 pelancong asing, 6 pekerja resort, 4 kakitangan Jabatan Hidupan Liar dan seorang anggota PDRM telah diculik oleh 6 orang bersenjata yang tidak dikenali di Pulau Sipadan. Kumpulan ini dipercayai daripada Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) yang berasal dari Kepulauan Selatan Filipina. Ekoran dari insiden tersebut, Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 26 April 2000 telah memutuskan satu seksyen trup TDM ditempatkan di Pulau Sipadan bagi melindungi pulau tersebut daripada sebarang ancaman bersenjata disamping membantu anggota PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang dan keselamatan. Operasi ini merupakan covert operation yang dikenali sebagai Op PADAN dan telah dilancarkan pada 29 April 2000.
Kejadian kedua telah berlaku pada 10 September 2000 lebih kurang jam 1940H di mana sekumpulan 14 anggota dipercayai dari KAS dengan menggunakan 2 buah bot laju bersenjatakan M16 dan berpakaian tracksuit telah melakukan penculikan dan rampasan di Pulau Pandanan yang terletak kira-kira 4 KM dari Barat Pulau Mataking dan 38 KM ke Timur Laut Semporna. Semasa kejadian sebuah bot mendarat di pulau, sementara sebuah bot lagi menunggu di perairan pulau. Kumpulan tersebut telah menculik pengurus dan ketua penyelam Pandanan Resort serta seorang kontraktor berbangsa Cina.
Ekoran kes penculikan ini, Kabinet yang bermesyuarat pada 13 September 2000 telah mengarahkan TDM untuk diaturgerak ke semua pulau dan pusat peranginan di perairan Sabah. Aturgerak OP PASIR telah dikuatkuasa pada 18 September 2000. Kata kod ”PASIR” yang digunakan bagi operasi adalah mengambil sempena lokasi insiden kes penculikan yang berlaku iaitu Pandanan And Sipadan Island Resort.