The United Nation Mission for the Referendum in Western Sahara atau dalam Bahasa Perancis Mission des Nations Unies Pour I’Organisation d’un Referendum au Sahara Occidental dan Bahasa Sepanyol Mission de las Naciones Unidas para la Organisazion de un Referendum en el Sahara Occidental (MINURSO) telah ditubuhkan pada 29 April 1991 di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) Resolusi 690 (1991). Pertubuhan ini adalah sebahagian dari Pelan Penyelesaian bagi gencatan senjata di antara kerajaan Morocco dan Frente Polisario Military Force (FPMF) atau FPOL (mewakili Arab Democratic Republic atau SADR) ke atas perebutan wilayah Sahara Barat atau dahulu dikenali sebagai Spanish Sahara. Misi MINURSO adalah memantau gencatan senjata rakyat Sahrawi ketika memilih sama ada berintergerasi dengan Morocco atau memilih untuk memerintah sendiri.
Misi ini merupakan misi paling lama di Afrika melibatkan pertikaian kawasan padang pasir yang paling luas dan gersang di dunia dikenali sebagai Sahara Barat. Konflik pertikaian di Sahara Barat bermula dengan berakhirnya pemerintahan Sepanyol pada tahun 1975. Setelah Sepanyol meninggalkan Sahara Barat, dua buah negara iaitu Morocco dan Mauritania menuntut wilayah ini sebagai sebahagian daripada kawasan negara mereka dan ianya telah mendapat tentangan dari FPOL, iaitu ketumbukan tentera yang memperjuangkan kemerdekaan rakyat tempatan Sahrawi yang menentang Sepanyol dan pendudukan Morocco. FPOL yang mewakili Sahrawi atau SADR ini telah ditubuhkan pada 10 Mei 1973, menuntut hak berdaulat dan kebebasan sepenuhnya mentadbir serta memerintah ke atas wilayah Sahara Barat atas alasan perjuangan awal mereka membebaskan penjajahan ke atas wilayah tersebut. Pada tahun 1979, Mauritania telah mengugurkan tuntutan ke atas Sahara Barat. Namun, konflik bersenjata masih berterusan di antara Morocco dan FPOL.
Pada bulan Ogos 1988, kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsipnya bagi mengadakan gencatan senjata untuk menjemput PBB bagi menentukan dan menyediakan satu referendum di mana rakyat Sahrawi membuat pilihan sama ada mendapatkan hak-hak mereka sebagai negara merdeka dan berdaulat atau berintergerasi dengan Morocco. Bagi memastikan gencatan senjata dikuatkuasakan, MINURSO telah menempatkan Pegawai Pemerhati Tentera (PPT) dari pelbagai negara ke semua sembilan penempatan di Sahara Barat mengikut settlement plan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.