KUANTAN, 15 Ogos 2022 – Markas Angkatan Bersama telah mengadakan perbarisan bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang. Majlis dimulakan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM. Seterusnya penyerahan jalur gemilang kepada wakil kawasan rumah sewaan kelompok iaitu:
Kolonel Jauhari bin Talib mewakili Taman Mahkota Height,
Kolonel (Dr) Mohd Jeffery bin Jalaludin mewakili Perumahan Seri Damai Baru,
Lt Kol Azmi bin Yusoff mewakili Taman Makmur Mahkota Jaya,
Mej Saiful Ishar bin Hj Saat mewakili Taman Tiram Perdana,
Mej Nor Khiswan bin Mohd Kadir TUDM mewakili Taman Seri Mahkota Maju,
Taman Seri Mahkota Aman Jaya 2 di wakili Mej Basir bin Idris TUDM,
Taman Makmur Fajar di wakili PW II Rizal bin Ishak dan
Taman Inderapura Jaya di wakili Sjn Mohd Noor bin Jaafar.
Sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Ianya juga seiring dengan nilai teras Markas Angkatan Bersama iaitu responsif, proaktif, kebersamaan dan inovatif.
Dalam konteks ini ‘Teguh Bersama’ merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh warga markas ini dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah organisasi. Semangat keluarga Malaysia teguh bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan anggota dalam usaha kita menyejahterakan tugas dan tanggungjawab ketika mendepani cabaran tugas domestik dan global. Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta warga MK AB kepada negara kekal mekar Bagai Api Nan Tak Kunjung Padam sampai bila-bila. Apa yang ingin disuburkan ialah semangat patriotisme iaitu perasaan cinta yang mendalam dalam diri kepada negara tanah tumpah darah ini.