Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 645 karton rokok dan tembakau secara tidak sah (tidak bercukai) menerusi rondaan Op BENTENG BERSAMA berhampiran Masjid Al Islam di Lorong Haji Salleh Tawau, Sabah. Kejayaan ini adalah hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) setelah mencurigai tindakan seorang lelaki dewasa yang sedang memuat masuk barangan berupa kotak dalam bungkusan plastik hitam kedalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna kelabu sekitar jam 6.00 pagi. Tim QRF telah bertindak mendekati kenderaan tersebut tetapi lelaki tersebut berjaya melarikan diri. Hasil pemeriksaan awal terhadap kenderaan tersebut mendapati kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa rokok dan tembakau seludup dari Indonesia ke Tawau.
MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau. Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 dan telah meminta bantuan dari Tim OCP Daratan Tawau bagi bantuan menunda kenderaan bersama kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke IPD Tawau untuk membuat laporan polis pada jam 11.41 pagi. Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 225 karton rokok seludup dari pelbagai jenama adalah dianggarkan bernilai RM 26,775.00 manakala tembakau sebanyak 420 bungkus dianggarkan bernilai RM 2,520.00 dan kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM 25,000.00. Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM 54,295.00. Kesemua barang rampasan dan kenderaan telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 10.00 pagi untuk siasatan serta tindakan lanjut PDRM. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.